Tuesday, June 30, 2009

Unity Government - Bicara Penutup

Adakah dipercayai bahawa perbincangan PAS dengan UMNO kearah UG (Unity Government) akan lebih membawa kebaikan atau membawa lebih keburukan kepada perjuangan PAS dalam memartabatkan Islam di bumi Malaysia? … suatu pandangan berasaskan pertimbangan mudah-logik.

Sebagai pencinta Islam, saya menyeru saudara-saudara pencinta Islam dari sekian ramai kalangan ahli atau penyokong PAS untuk berhenti seketika (daripada apa yang anda lakukan sekarang ini) untuk memikirkan dan menjawab 1 soalan ini iaitu ‘Adakah anda percaya pada masa ini PAS masih komited dan konsisten untuk memartabatkan Islam di Malaysia? Ya atau tidak? Katakanlah… Ya.

Bagaimana kalau soalan yang hampir sama ditanyakan kepada anda tetapi merujuk kepada parti orang Islam satu lagi. Adakah Parti itu komited dan konsisten untuk memartabatkan Islam di Malasia? Ya atau tidak? Katakanlah anda tidak yakin atau anda yakin… ‘tidak’.

Sudah tentu jawapan yang kita berikan hendaklah dari kepercayaan tulus kita berdasarkan ilmu dan penghayatan atas apa yang berlaku disekeliling kita di bumi bertuah ini. Oleh itu segala pertimbangan anda selepas ini bermula daripada hasil jawapan yang anda berikan kepada soalan 1 tadi seterusnya bagi anda menjawab sendiri soalan utama di atas.



‘High Class” Dakwah Islam. Perjuangan untuk meletakkan Islam di tempat yang selayak baginya di Malaysia ini melalui wadah dakwah berpolitik adalah yang paling mencabar dan menguji. Pejuang yang berilmu, beriman, dan sabar dalam melalui dugaan oleh tekanan dan kejahatan (manusia yang punya kuasa) dengan istiqamah selayaknya dikatakan berada dalam kategori ‘High Class’ Dakwah Islam.

Setakat ini, dalam keadaan negara kita yang masih selamat dari keadaan huru hara dan situasi kezaliman yang menuntut perjuangan berdarah (seperti di negara-negara lain di mana tawaran ‘syahid’ adalah rahmah disebalik kejadian), bersama-sama dalam perjuangan PAS boleh memberi peluang kepada pencinta Islam untuk menjadi pejuang dakwah dalam kategori ‘High Class’ Dakwah. [Adakah anda terbaca kisah isteri seorang bekas ketua pemuda PAS yang menceritakan tentang kesusahan diri dan keluarganya semasa era awal perjuangan mereka. Memang menginsafkan]

Kerajaan Perpaduan (UG).
Pencinta Islam dan sekian ramai ahli biasa PAS menjadi bingung dengan kecelaruan atas apa yang timbul daripada idea ini dan usaha perbincangan ke arah idea UG ini. Golongan pemimpin dalam PAS sendiri berbeza pendapat secara serius. Begitu juga sebahagian golongan ilmuan agama dan mufti. Masing-masing dengan hujah masing-masing.
Manakala bagi UMNO, terdapat kesatuan pandangan dalam menyokong kepada idea UG ini.

Isunya, mana satukah pandangan yang betul dan mana satukah pandangan yang salah. Atau mana satukah yang lebih baik antara kedua pandangan itu. (to support the idea of UG or to against it) Sudah tentu, ukuran untuk menjawabnya bagi kita pencinta Islam ialah dengan menjawab soalan utama diatas. Mudahnya mana satu yang islamik dan memberi kebaikan kepada Islam? Oleh kerana politik Islam juga menekankan kepentingan kebijaksaan dan kekuatan selain daripada amanah, maka adakah suatu yang bijaksana atau lebih bijaksanan dari sudut strategi politik atas idea UG itu?

Terlebih dulu marilah kita perhatikan dari sudut penggunaan akan fikiran munasabah. Kita lihatlah kelebihan-kebaikan-kelogikan dan kelemahan-keburukan-ketidaklogikan yang dijangka atau boleh dijangka secara munasabah mengambil kira semua faktor munasabah.
[Ulasan ini adalah ringkas. Anda seharusnya telah mempunyai pengetahuan dari pelbagai sumber penulisan yang sekian banyak atas pros dan cons nya].

Kelemahan-keburukan-ketidaklogikan
(1) Tiada keikhlasan pada pihak UMNO dalam menerima idea UG ini. Jangan nilai pada lisan kerana lidah tidak bertulang. Tapi lihatkan pada tindakan yakni apa yang dibuat dan tidak dibuat, atau yang patut dibuat tetapi tidak dibuat dan begitulah sebaliknya. Perhatikan Isu Perak, Isu Memali, Isu layanan kepada kerajaan Negeri Kelantan di bawah TGNA, isu royalty minyak dan wang ehsan, Isu sekolah agama rakyat, tindakan media masa dan lain-lain. Senaraikan).. Sewajarnya tindakan ‘good will’ dilakukan dengan mengembalikan beberapa hak kepada pihak PAS dan PR. Mungkin penganiayaan yang dialami oleh TGNA dianggap sebagai suatu yang harus dilupakan demi untuk perbincangan, tetapi ia adalah suatu pengalaman tulin dan bernilai dalam membaca hati budi, orang yang kononnya mahu berbincang untuk berbaik.

(2) Belum pun bincang, media masa pro kerajaan telah ‘menyerang’ sehingga menimbulkan suasana menyusahkan bagi pihak berniat baik menimbulkan idea UG ini.

(3) Sejarah pahit Pas sebelum ini. Ada kebenaran hujah agar sejarah pahit ini dilupakan tetapi ingat bahawa sejarah adalah guru terbaik khususnya untuk kita memahami siapa orang yang kita mahu duduk berbincang dengannya itu. Muhasabahkan diri kita untuk menilai pihak tersebut, kelicikan dan kesanggupan berbuat apa sahaja kerana kuasa. (Senaraikan).

(4) Sebagai gerakan Islam, terlalu banyak kesedaran telah PAS usahakan dan jayakan sehingga ke tahap ini, dalam memperjuangan Islam dan mendaulatkan Islam. Itulah apa yang kebanyakan pencinta Islam rasakan dalam hati sanubari. Ia dicapai secara jerit perih bukan sekadar tanpa sokongan tapi dengan tentangan. Ingat! dengan tentangan.

(5) Adakah pihak itu yang selama ini memang kuasa menunjukkan kesungguhan usaha dalam mendaulat Islam khususnya pada perkara-perkara utama dan prinsipal? Atau sekadar pada perkara kecil dan kulit. Perundangan Allah? Riba yang berleluasa? Arak? Budaya hiburan? Paling ngeri kerosakan akidah dan akhlak generasi muda. Hiburan dan kelalaian, hiburan dan luarbatasan, hiburan dan kehancuran. Apa mungkin perbincangan membawa hasil, jika pada sebelah pihak di hati mereka tidak menyukai apa yang Allah perintahkan? Begitulah dirasakan pencinta Islam. Mereka rasakan Kedudukan Islam di Malaysia adalah sebagai alternatif bukan perkara utama. Ingat! Alternatif… bukan utama. Lihatlah bagaimana pejuang Islam bernama Zulkifli Noordin berusaha mengenengahkan usul undang-undang antaranya agar hak orang Islam kepada perundangan Islam dibenarkan. Jika seorang yang berzina minta di bicarakan mengikut perundangan Islam (yang sebenarnya) dan jika didapati bersalah, minta dikenakan hukuman hudud, maka sewajarnya dibenarkan. Ini adalah hak asasi orang Islam.

(6) Islamphobia telah dikurangkan. Tidak pernah PAS sebuah parti Islam mendapat sokongan daripada bukan Islam seperti mana yang berlaku sekarang. Tidak kira lah jika dikatakan sokongan bukan Islam ini kerana kepentingan mereka, tetapi apabila mereka membuka hijab atau memecahkan batu pemisah dalam jiwa prejudis perkauman dan sensitiviti keagamaan selama ini, maka terbentang luaslah jalan dakwah, dan segala yang selama ini hampir mustahil dan pelik kita mendekati kenyataan. Mana mungkin kita terfikir selama ini ustaz PAS berserban boleh bincang mesra dalam rumah orang India (Hindu) dan pernah terfikir orang India (Hindu) bertanding atas tiket PAS.

(7) Bagaimana mungkin mereka (bukan Islam) ini akan terus menyokong PAS dalam pilihanraya akan datang apabila kepercayaan mereka telah dirosakkan oleh PAS dengan menerima idea UG ini. [Jika tidak silap, rujuk tulisan Dr Zulkifli (PAS) dalam Siasah dan tulisan Peguam Hanipa dalam hal ini- sangat berkualiti).

(8) Terlalu sukar menjadikan UG kepada realiti. Kerajaan bumiputra 100%, tidak logik dan memarakkan sentimen racism ? (Rujuk kata-kata Mantan PM) Praktikal atau tidak? Pembahagian kerusi dan kuasa. (Ustaz Zaharuddin).

Kelebihan-kebaikan-kelogikan (UG)
Anda senaraikanlah. Tapi saya malas senaraikan kerana apabila ia sukar dicapai secara logik dan tidak praktikal maka kelebihan dan kebaikannya sudah tidak begitu relevan. Yalah agak prejudis.

Hakikat sebenar pandangan majoriti daripada pencinta Islam atas isu UG ini tidak diketahui. Namun berasaskan begitu kuat dan ketaranya kelemahan-keburukan-ketidaklogikan dan kesan kepada idea di atas, maka pandangan majoriti daripada kepimpinan PAS adalah lebih cenderung kepada menolak penerusan dan perlaksanaan idea UG itu. Maka adalah lebih dipercayai bahawa perbincangan PAS dengan UMNO kearah UG (Unity Government) akan lebih membawa keburukan kepada perjuangan PAS dalam memartabatkan Islam di bumi Malaysia

Hujah Agama/Islamik Atas Isu UG
Namun begitu, sebahagian golongan ilmuan agama termasuk bekas mufti dan mufti kanan menekan perlunya perbincangan PAS dengan UMNO kearah UG atau bagi maksud dan kesan yang seumpamanya dengannya. Hujah mereka disandarkan kepada dalil-dalil al Quran dan sirah nabi dan sebagainya.

Ingat! Suatu hujah yang disandarkan kepada nas al Quran dan Hadis adalah sangat bermerit dan mesti diberi perhatian. (Sila rujuk hujah Dr Asri dan lain-lainnya). Antara sebahagiannya ialah ayat Allah “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 10).

Dalil al- Quran ini (disamping beberapa rujukan dalil-dalil lain) dilihat oleh saya sebagai relevan dengan isu perbincangan UG ini walaupun tidaklah dalil-dalil itu secara jelas atau langsung merujuk kepada idea UG itu. Oleh itu saya sangat mengharapkan bagaimana golongan ilmuan agama dari mereka yang menentang idea UG menjelaskan tentang kedudukan nas al Quran ini sama ada dari sudut tafsiran, pemahaman dan pemakaian ayat ini khususnya merujuk isu UG pada hari ini.

Namun seorang Ilmuan agama yang dihormati Ustaz Zaharuddin mengatakan bahawa terdapat hujah-hujah dari ilmuan agama lain yang tidak menyokong kepada idea UG ini.
Pada saya, UZAR lebih melihat isu ini lebih kepada masalah strategi berpolitik. Sila juga rujuk hujah-hujah islamik pada pihak TGNA dan ulama serta ilmuan Islam (bebas) lain yang tidak cenderung kepada idea UG ini. (Sila cari sendiri).

Sudah tentu mereka juga sedar akan ayat al Quran yang dibawa sebagai dalil dan hujah oleh Dr Asri itu tadi [Surah al-Hujurat: ayat 10].

Jangan hukum saya. Saya adalah sekadar orang awam yang sangat teruja untuk memahami pemikiran dan perbahasan atas perbezaan pandangan golongan ilmuan agama (sama ada berparti atau tidak) dan hujah islamik mereka. Justeru, sudah tentu golongan islamik (yg tidak Pro kepada idea UG) ini juga menghayati makna dan maksud ayat Allah itu tetapi mereka sesungguh percaya bahawa mereka tidaklah melanggar perintah ayat itu berdasarkan situasi isu hari ini. Pada saya, apakah mungkin mereka berpandangan bahawa:-

(1) Keadaan yang berlaku dalam isu UG adalah berbeza dan bukan seperti dimaksudkan dan dikehendaki pada kesan ayat tersebut kerana apa yang berlaku adalah perbezaan politik dan pendekatan strategi. Tiada permusuhan dan pertelingkahan secara yang membahayakan Islam dan Umat Islam dan tidak melibatkan pertumpahan darah. Umat Islam tidak berpecah. Cuma Umat Islam yang menghendaki (lebih) Islam kini mendapat lebih kuasa dan peranan. Perselisihan hanya kepada strategi, pendekatan dan kedudukan suatu parti yang istiqamah untuk melaksanakan Islam yang kini ingin mengambil alih kuasa daripada suatu parti yang dilihat tidak mahu melaksanakan Islam secara sewajar dan sepenuhnya. Dalam hubungan keseluruhan yang lain dari sudut persaudaraan, pergaulan, ibadah hubungan kemasyarakatan adalah biasa dan baik.

(2) Tidaklah sampai situasi isu UG ini ketahap apa yang berlaku antara kisah perselisihan antara Saiyidina Ali dan Sayyidina Muawwiyah namun, ya kisah sirah islam ini memang menjadi panduan dan ingatan.

(3) Benarlah bahawa Saiyyidina Hasan telah mengundur diri dari kerusi pemerintahan dan menyerahkannya kepada Mu`awiyah selepas kewafatan ayahnya Saiyyidina `Ali. Muawiyah dengan itu menguasai pemerintahan sepenuhnya dan tahun tersebut dinamakan oleh orang Islam iaitu “tahun perpaduan. Namun perlu difahami , bahawa kedua-dua pemimpin ini sememangnya melaksanakan Islam sewajarnya. Hanya golongan penyokong mereka mahukan pemimpin mereka menjadi ketua atau khalifah (berdasarkan hujah-hujah mereka). Jika tidak kerana kebijaksaan dan kewarakkan Sayyidina Hassan, ditakuti berlaku pertumpahan darah yang besar akan berlaku. Tapi tentulah tak sama dengan situasi hari ini. Takkanlah pula PAS nak undur diri, biarlah UMNO nak tadbir Malaysia ikut lagu mana? UMNOlah yang perlu undur diri serahkan kuasa kepada PAS kerana PAS nak tadbir ikut Islam.

(4) Seterusnya, terdapat lain-lain hujah islamik yang menguatkan pandangan kearah menolak idea UG tersebut.

(5) Setiap sesuatu kes itu bergantung kepada faktanya sendiri. Dalam banyak kejadian, terdapat perbezaan fakta yang ketara antara satu kejadian dengan kejadian yang lain memerlukan kebijaksanaan dan keluasan dalam meletakkan padangan hukum. Apalagi mengambil kira kepercayaan tulus ikhlas PAS kini bahawa demi kebaikan Islam dan Umat Islam “perbincangan kearah UG is a bad idea”.

Kesimpulannya, sekiranya benarlah terdapat kelonggaran atau pilihan pada hukum agama berdasarkan hujah-hujah agama untuk bersetuju dan tidak bersetuju kepada idea UG ini, maka tidakkah ia masuk dalam kategori perbezaan pendapatan yang merupakan suatu rahmat. Oleh itu sewajarnya:-

(1) PASlah yang berhak menentukan pada akhirnya mengenai isu UG ini dan kini mereka telah menolak idea UG ini. (Kes dengan itu dianggap selesai).

(2) Dengan rasa hormat kepada mufti secara keseluruhannya, saya suka mengingatkan kepada kita semua bahawa di dalam PAS itu sendiri dan diluar sana sebenarnya terdapat sekian banyak tokoh ilmuan agama. Tidak semestinya pandangan ilmuan yang mendapat liputan media arus perdana… itulah terbaik, bebas, tapi yang pasti itulah yang disukai oleh pihak yang memberi liputan.


(3) Masih ramai tokoh agama (kurang mendapat liputan) yang bebas (tanpa ikatan dunia) yang mampu memberi pandangan agama secara diyakini jujur dan telus tanpa rasa takut menyingggung pihak atasan atau pembayar gaji atau kerana kerana termakan budi atau jasa kerana sebahagian yang lebih dikenali awam mungkin telah sedikit terjejas reputasinya.

(4) Dalam keadaan terdapat kelonggaran 2 pilihan dalam isu idea UG, maka tidak adil adanya teguran berbentuk keras dan sinis datang daripada ilmuan agama yang tidak berparti terhadap tokoh agama PAS seperti Tuan Guru Nik Aziz yang telah sekian lama berkorban dalam perjuangan Islam.

(5) Adakah kita pasti teguran kita itu tidak memberi kesan yang lebih buruk kepada Islam, perjuangan Islam dan kebaikan Umat Islam? Apakah yang dilakukan oleh PAS dan TGNA khususnya di Kelantan tidak terlebih baik dari pada yang sebelumnya atau sekiranya negeri itu dikuasai pihak satu lagi? Fikirkan. Apakah si Nizar yang serba boleh yang diterima bukan Islam itu tidak terpancar dari hasil perjuangan PAS itu? Bukankah ikon ini merupakan bayangan calon yang boleh memimpin negara dan semua kaum (Rujuk kata-kata Dr. Aziz Bari).

(6) Tidakkah manipulasi- manipulasi atas teguran yang kurang bijaksana boleh memberi kesan tidak baik kepada perjuangan Islam apabila orang-orang awam pencinta Islam dan yag mula mencintai Islam menjadi keliru …. Oh! mereka itu sama sahaja. Hakikatnya mereka adalah jauh berbeza. Yang nakkan Islam dan yang sebaliknya.

(6) Penolakan perbincangan kepada idea UG bukan penolakan total kepada apa jua bentuk perbincangan lain demi kebaikan Islam dan Umat Islam seperti isu masalah akidah keruntuhan akhlak umat Islam, penghayatan Islam. Isu arak, judi dan Riba. Isu Pendidikan Islam, Perundangan Islam dan lain-lain. Tapi pihak yang mulai lemah kekuasaannya mesti bersikap ikhlas dan jujur dan membuktikan melalui perbuatannya, bukan sekadar manis percakapan. Wallahu taala ‘alam.

Abu Dubeis 1/7/2009

0 Komen:

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP