Thursday, August 13, 2009

SELIMUT PUTIH MEMBALUT TUBUHNYA. SELIMUT PUTIH ‘MENGEJAR’ KITA

Dikala menulis nota ini, pagi jumaat, saya memasang lagu nasyid ‘selimut putih’ ihsan web UZAR. Nota ini dikarang dalam suasana yang pilu dan dengan hati yang hiba mengenang pemergian-nya yang takkan kembali. Lirik dan melodi lagu tersebut begitu syahdu, menyentap jiwa dan menegakkan roma. Kesedaran tiba-tiba akan kematian yang sentiasa berdekatan, menjadi jiwa yang tak bersedia merasa ketakutan.

Kini selimut putih telah membalut tubuh seorang insan yang dikurniakan suara emas. Anugerah Allah digunakan untuk manfaat agama, yang sentiasa ditindas di bumi tercinta. Dalam kedahsyatan arus hiburan maksiat yang bermaharajalela menjahanamkan anak-anak dan remaja kita, kemerduan alunan nasyid almarhum sangat didamba untuk mengisi jiwa-jiwa yang dahagakan hiburan yang diredai.

Kematian Ustaz Asri mengejutkan kita semua. Umur yang masih muda, sedikit melebihi saya, mengejutkan saya dari kelekaan. Begitu pantas ia berlaku. Semalam bersama orang tersayang, hari ini sudah tiada lagi. Bagiamana dengan kita? Selimut putih telah membalut tubuhnya… selimut putih juga sentiasa menghantui kita. Mungkinkah selimut putih sedang mengejar kita?

Kematian beliau jangan sekadar ditangisi. Perlu dijadikan iktibar dan pengajaran. Kematian beliau sewajarnya menjadi kejutan peringatan untuk kita menambahkan bekalan akhirat mulai sekarang, agar semoga kita berada dalam keadaan senantiasa sedia untuk dijemput.

Sedarlah anak-anak muda, pejuang-pejuang Islam diluar sana. Bangunlah. Kuatkan semangat. Terlalu banyak kerja untuk dilakukan dalam menyelamatkan diri kita dan sekelian umat Islam di bumi bertuah ini.

Dakwah adalah kerja sukar dan berat, tiada pula habuan material. Namun manfaat akhirat sangatlah besar. Hanya motivasi bahawa kematian adalah begitu hampir, mampu membangkit jiwa-jiwa yang kekadang lemah, putus asa dan kecewa.
Kita tidak mahu lagi kepada ungkapan ‘manusia mati meninggalkan nama’… kita mahukan kematian kita meninggal ‘legasi’- legasi amal kita. Legasi amal yang kita tinggalkan buat manfaat umat Islam akan akan terus hidup untuk menyalurkan saham pahala kepada kita di sana , insya allah.

Ingatlah kata-kata ulama terbilang masa kini Dr. Yusuf Qardawi: ”sesungguhnya dalam kehidupan ini ada manusia yang mati sebelum datang ajalnya, kerana masa yang ada dalam kehidupannya itu sama sekali tidak memberikan manfaat dan faedah samada bagi dirinya ataupun orang lain, sementara itu ada manusia-manusia yang terus hidup meskipun ajalnya telah sampai menjemput, kerana masa yang ada dalam hidupnya berjaya digunakan untuk melakukan perkara-perkara yang berfaedah sama ada untuk dirinya atau masyarakat ramai berupa warisan ilmu pengetahuan, anak-anak soleh atau para murid yang bertaburan di pelbagai tempat untuk melanjutkan misi perjuangan atas dunia ini. Perjuangan yang berlanjutan itu menjadikan seolah-olah ia masih hidup dan bergerak dibuka bumi, meskipun jasadnya sudah lama dikandung tanah”.

Wallahu ta’ala alam. - By Abudubeis -
http://abu-dubeis.blogspot.com

0 Komen:

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP