Tuesday, September 15, 2009

Perlakuan Buruk Lagi Menyusahkan….

Saya hanya ingin berkongsi suatu kisah benar disuatu ketika dahulu melibatkan tindakan seorang penjawat awam iaitu seorang Penolong Pentadbir Tanah di suatu pejabat tanah di suatu daerah di dalam Negeri Johor. Sama ada ianya relevan dengan isu kecemerlangan perkhidmatan penjawat awam/kakitangan kerajaan atau seorang yang skop kerjanya berkaitan dengan perkhidmatan kepada awam, terserahkah kepada pembaca budiman menimbangkannya?

Saya hanya mahu pembaca melihat dan mengadili tindakan itu dari segi kemunasabahan dan rasional kerana itulah ukuran minima yang diharap daripada seorang penjawat awam. Pada ketika tarikh itu terdapat suatu lelongan tanah. Atas pemahaman semua, suatu lelongan awam itu tidak dapat dilaksanakan tanpa restu Penolong Pentadbir Tanah (PPT) yang bertugas untuk urusan lelongan.


Malangnya ketika itu PPT dikatakan ada mesyuarat dalaman dengan ketuanya mungkin Ketua PPT atau PT. Masa mulai berlalui dari waktu lelongan yang telah ditetapkan. Kerani urusan lelongan telah bersedia tapi tidak boleh berbuat apa-apa melainkan PPT mengarahkan/mengizinkan lelongan dimulakan. Kerani menyatakan kepada kami, waktu lelongan telah dimaklumi PPT dan telah juga diingatkan tapi disuruh tunggu.

Masa telah melewati sekitar lebih 2 jam, pelelong dan peguam Bank terpaksalah bersabar atas sebab yang mungkin boleh difahami. Tapi bagaimana pula dengan orang ramai yang hadir bagi lelongan itu samada sebagai pembida ataupun tidak. Terdapat ramai awam yang berminat untuk membeli hartanah itu dan mereka telah terpaksa menunggu selama itu termasuklah seorang kontraktor dan seorang wanita (mungkin guru) bersama ibunya.

Apabila sahaja PPT tersebut hadir dan memberi restu, maka lelongan itu diselesaikan dengan jayanya dalam masa hanya sekitar 15 minit dengan pembida paling tinggi. Wanita tersebut yang telah meletak deposit tidak berani meneruskan cabaran pada harga lebih tinggi, maka tidaklah ia mendapat tanah tersebut. Ironinya, PPT tersebut hadir memberi restu untuk prosiding bagi sekadar beberapa saat, dan kemudiannya pergi. (ianya dipercayai sebagai suatu keadaan/tindakan yang tidaklah ‘luar’biasa.)

Pelelong memulakan lelongan dengan kehadiran kerani lelong sebagai wakil (‘sah’) kepada PPT. Saya ulangi, dalam kesibukan masyarakat mendesak kepada kecemerlangan dlm perkhidmatan awam. Harapan saya cukup sederhana sebagai matlamat terdekat iaitu supaya mereka dapat berfikir munsabah dan rasional dan bertindak secara munsabah dan rasional.
Apa yang munasabah ialah PPT tadi seharusnya meninggalkan kejap sahaja mesyuarat tersebut untuk memberi restu kepada lelongan tersebut untuk dimulakan. Apa yang munasabah ialah untuk dia meminta izin ketuanya/atau pegawai lebih atasan agar dapat keluar kejap? Jika pegawai atasannya tidak benarkan, jelaskan. Nescaya pegawai atasan akan memdapati munasabah untuk membenarkan, tetapi jika tidak dibenarkan bukan lagi salah PPT itu. Pegawai atasannya pula patut ada alasan yang lebih munasabah untuk tidak membenarkan suatu permintaan yang munasabah. Jika tiada kewajaran munasabah untuk tidak melakukan tindakan-tindakan munasabah tersebut, andaian munasabah saya tiada yang lain, melainkan menyimpulkan PPT tadi telah gagal berfikir munsabah, atau jika telah difikirkan munasabah, telah gagal bertindak munasabah.
Kesannya seorang pelelong (tidak termasuk pembantunya), seorang peguam dan begitu juga masyarakat awam yang terlibat hari itu telah kerugian masa mereka selama 2 jam. Itu adalah kesan buruk yang nampak langsung, hakikatnya rantaian kesan buruk itu sebenarnya pasti tidak terputus di situ. Kelemahan ini sudah tentu menjejaskan matlamat kecemerlangan penjawat awam.

Kelemahan ini menjadi kesilapan besar, jika benar kata peguam bahawa mengikut undang-undang lelongan mesti dijalankan sesegera munasabah pada masa yang ditetapkan. Jika seandainya PPT tadi tidaklah menyangka sebegini sekali impak negatif kesan tindakannya, maka semoga ianya tidak lagi berulang. Ini sekadar satu contoh terasing tetapi kunci ukuran/ujiannya adalah sama dan boleh digunapakai oleh penjawat awam dalam banyak, jika tidak semua keadaan. Dalam apa jua hal setiap tindakan harus dipertimbangkan dan dinilai kemunasabahan dan rasionalnya. Apa yang lebih dari itu, barulah dikatakan kecemerlangan.

Sebenarnya tragedi itu telah agak lama berlaku tetapi sebahagian besar fakta material masih segar sehinggalah saya mencuri masa untuk menulisnya. Ianya kisah benar dan ketika ianya berlaku, emosi saya kecewa dan marah tapi tidak lagi semasa penulisan ini dibuat. Cukup munasabah dan rasional.

Saya harap bahawa mereka yang diberi ‘kuasa’ yang sedikit ini tidak merasa ‘ujub’ dengan kuasa yang ada, lantas ingin membuktikan ke'kuasaan'nya. Ia, bagi saya, hanya sekadar perlakuan buruk lagi menyusahkan…

0 Komen:

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP